DEFINISI KAJIAN TINDAKAN
Secara amnya kajian tindakan merujuk kepada penyelidikan ke atas amalan
oleh pengamal, baik secara individu mahupun bersama pengamal lain; untuk
mengubah dan menambah baik amalan sedia ada. Dalam bidang pendidikan, pengamal
boleh terdiri daripada seorang guru, pentadbir atau seseorang kaunselor
sekolah, atau individu lain yang terlibat dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Walau bagaimanapun, lazimnya kajian tindakan merujuk kepada
penyelidikan yang dijalankan oleh guru untuk memperbaiki amalan dalam pengajaran
dan pembelajaran. Misalnya, guru boleh menyelidik kaedah pengajaran dan bahan
pengajaran yang digunakannya untuk meningkatkan lagi keberkesanan
pengajarannya.
Guru juga boleh menjalankan
penyelidikan ke atas para pelajarnya bagi mengenal pasti kesukaran yang
dihadapi oleh mereka dalam memahami sesuatu perkara atau topik yang
diajar. Melalui penyelidikan yang dijalankan, guru akan beroleh maklumat bagi
merangka suatu tindakan yang bakal diambil, diikuti oleh suatu penyemakan sama
ada tindakan yang diambil itu berkesan atau tidak. Sekiranya tidak berkesan,
maklumat baru akan dikumpul bagi membuat tindakan susulan dengan diikuti
penyemakan seterusnya. Penyelidikan ini dijalankan secara berterusan
sehinggalah penyelesaian ditemui untuk masalah yang dihadapi. Oleh itu,
kajian tindakan boleh dikatakan menghubungkan suatu penyelidikan dengan
tindakan agar tindakan yang diambil oleh guru adalah tindakan yang berasaskan
fakta atau maklumat yang diperoleh melalui penyelidikan yang dijalankan oleh
guru sendiri sebagai pengamal.
Terdapat beberapa definisi yang sering dirujuk tentang kajian tindakan Elliot (1981) - Elliot menyifatkan kajian tindakan sebagai suatu kerangka penilaian
kendiri (framework for self evaluation) dan pendekatan yang digunakan,
mementingkan aktiviti refleksi dan inkuiri yang bertujuan untuk memperbaiki
atau mengubah amalan kendiri dalam lingkungan situasi sosial yang terdiri
daripada guru, pelajar, pentadbir, ibu bapa dan individu-individu lain yang
berkepentingan. Menurutnya, kajian tindakan juga merupakan penyelidikan situasi
sosial yang bertujuan untuk memperbaiki kualiti tindakan dalam lingkungan
sendiri. Definisi yang selalu dijadikan rujukan, khususnya di Malaysia, ialah
kajian tindakan guru berkaitan dengan permasalahan harian yang dilalui oleh
guru, bukannya masalah teoritikal seperti mana yang dikemukakan oleh penyelidik
akademik.
Ebbut (1985) - Ebbut mendefinisikan kajian tindakan
sebagai suatu penyelidikan yang sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap
usaha-usaha untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan melalui
tindakan praktis mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat
tindakan tersebut.
McNiff (1988) - McNiff mendefinisikan kajian tindakan
sebagai satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan
melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menyedari amalan mereka
sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut, dan bersedia untuk
mengubahnya. Kajian ini melibatkan guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh
mereka, di samping melibatkan guru-guru lain.
Cochran & Lytle (1990) - Cochran & Lytle mentakrifkan
kajian tindakan sebagai penyelidikan berasaskan bilik darjah yang merupakan
inisiatif guru dan dilaksanakan oleh guru. Penyelidikan yang dijalankan
membolehkan guru meneroka isu-isu yang menarik perhatian mereka. Pendekatan ini
juga membolehkan ilmu guru dijadikan sebahagian daripada literatur pendidikan
dan seterusnya, secara tidak langsung, menyumbang ke arah pembinaan struktur pendidikan.
Kember & Gow (1992) - Kember & Gow menyatakan kajian
tindakan melibatkan pengamal (guru) yang cuba membaiki pengajaran mereka
melalui lingkaran yang melibatkan proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian,
dan refleksi.
Calhoun (1993) - Calhoun menyatakan bahawa kajian
tindakan boleh dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu kajian tindakan individu
(individual action research), di mana kajian tindakan dilaksanakan oleh
guru secara bersendirian; kajian tindakan kolaboratif (collaborative action research),
iaitu penyelidikan yang dilaksanakan oleh sekumpulan guru dengan individu di
institusi pengajian tinggi atau yang setaraf dengannya; school wide
action research, iaitu penyelidikan yang melibatkan seluruh staf atau guru
bersama konsortium sekolah.
McBride & Schostak (1994) - kajian tindakan merupakan refleksi tentang pengajaran sendiri yang dilakukan dalam satu putaran perubahan, di mana fokus utama adalah untuk memperbaiki amalan kendiri.
McBride & Schostak (1994) - kajian tindakan merupakan refleksi tentang pengajaran sendiri yang dilakukan dalam satu putaran perubahan, di mana fokus utama adalah untuk memperbaiki amalan kendiri.
JENIS KAJIAN TINDAKAN
Kajian tindakan boleh dibahagikan
kepada tiga jenis iaitu kajian tindakan teknikal (technical action research), kajian tindakan praktikal (practical
action research) dan kajian tindakan bebas(emancipatory action research) (Carr & Kemmis 1986; Grundy
1982). Menurut pengkaji-pengkaji ini, tujuan kajian tindakan teknikal adalah
lebih kepada keberkesanan dan kecekapan pendidikan atau lebih tertumpu kepada
produk. Projek di bawah jenis ini (kajian tindakan jenis teknikal) dimulakan
oleh pakar dari luar sebagai fasilitator dan pengamal-pengamal banyak
bergantung pada fasilitator tersebut.
Kajian tindakan praktikal pula adalah melibatkan fasilitator dan pengamal menyelidik secara bersama dan mengalakkan penglibatan serta refleksi kendiri pengamal-pengamalnya. Sementara kajian tindakan bebas adalah masih melibatkan fasilitator dan pengamal penyelidik bersama secara kolaboratif. Kajian tindakan bebas menggalakkan tanggungjawab dikongsi sama rata oleh pengamal dan pengamal bebas daripada mengikut cara tradisi dan membuat keputusan demokrasi.
Bagi Calhoun (1993) pula, beliau membahagikan kajian tindakan kepada tiga senario iaitu kajian tindakan individu (individual action research), kajian tindakan kolaboratif (collaborative action research) dan kajian tindakan seluruh sekolah (school wide action research). Kajian tindakan individu adalah kajian yang dilaksanakan secara individu manakala kajian tindakan kolaboratif pula dilaksanakan oleh kumpulan guru secara sukarela dengan pensyarah universiti. Kajian tindakan seluruh sekolah adalah kajian yang melibatkan seluruh kakitangan dan guru sekolah secara bersama melaksanakan kajian.
McNiff et al (2002) membahagikan kajian tindakan kepada tiga pendekatan iaitu, pertama, pendekatan interpretif (interpretive approaches) iaitu pendekatan yang mengakui kewujudan pengamal sebagai peserta kajian yang sebenar di dalam kajian; kedua, pendekatan teoritik kritikal (critical theoritic approaches) iaitu pendekatan yang membolehkan orang menjadi sedar tentang kekuatan sejarah dan budaya yang telah mempengaruhi mereka dan situasi serta proses membuat teori adalah terhad pada kenyataan secara retorik daripada wujud dalam amalan mereka sendiri; dan ketiga, pendekatan teori hidup (living theory approaches) iaitu pendekatan yang menggalakkan pengamal sendiri yang mengemukakan penghuraian dan penjelasan mereka bagi pembelajaran mereka sendiri.
Walau apapun jenis atau senario ataupun pendekatan kajian tindakan yang dikemukakan, tujuan utama seharusnya adalah untuk menambahbaikkan amalan secara sistematik. Malahan tiga jenis kajian tindakan yang diutarakan boleh dilihat sebagai peringkat-peringakat perkembangan dalam amalan kajian tindakan . Kajian tindakan boleh dimulakan dengan kajian tindakan teknikal, perlahan-perlahan berkembang kepada kajian tindakan praktikal dan seterusnya kepada kajian tindakan bebas.
TUJUAN KAJIAN TINDAKAN
Menurut Carr dan Kemmis (1986),
terdapat dua tujuan utama pelaksanaan sesuatu kajian tindakan:
(a) Menambah baik - merujuk kepada penambahbaikan dalam tiga peringkat iaitu:
·
penambahbaikan terhadap amalan;
·
penambahbaikan kefahaman terhadap
amalan oleh pengamal; dan
·
penambahbaikan terhadap situasi di
mana amalan diamalkan.
(b) Melibatkan - merujuk kepada penglibatan pengamal yang mengamalkan
sesuatu bidang.
Dalam bidang pendidikan, sering kali
akan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan amalan pengajaran dan
pembelajaran, dan ini menuntut pemulihan keadaan. Misalnya, katakan sebilangan
pelajar tidak berminat terhadap sesuatu mata pelajaran apabila diajar oleh
seorang guru yang baru mengambil alih tugas daripada guru lain. Situasi
sebegini dapat diatasi melalui pelaksanaan suatu penyelidikan bagi
mengembalikan minat kumpulan pelajar berkenaan terhadap mata pelajaran
tersebut, yakni suatu penambahbaikan terhadap amalan. Penyelidikan juga boleh
dijalankan bagi memahami punca minat sekumpulan pelajar menurun apabila berlaku
pertukaran guru yang mengajar; untuk mengetahui sama ada perubahan yang berlaku
adalah berikutan ciri guru atau ciri topik yang diajar oleh guru - suatu
penambahbaikan terhadap kefahaman guru terhadap amalan. Malah penyelidikan
tindakan juga dapat dilaksanakan bagi mengubah situasi di mana masalah
kekurangan minat berlaku, contohnya dengan mewujudkan elemen baru. Misalnya,
penggunaan pendekatan bercerita dalam pengajaran guru bagi meningkatkan kembali
minat terhadap pengajaran.
Ini bermakna, kajian tindakan bukan
sahaja membantu memahami amalan serta menambah baik amalan, malah membantu
menyesuaikan amalan dengan perubahan yang berlaku di luar, serta mengubah apa
yang berlaku di luar bagi menambah baik amalan. Sebagai contoh, kemunculan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menuntut guru menyesuaikan amalan
pengajarannya dengan mengemas kini fakta-fakta yang disampaikan; fakta-fakta
terkini dapat dicapai melalui internet. Guru juga boleh mencari jalan untuk
mengesan dan menghalang amalan memplagiat dalam kalangan pelajarnya dengan
menggunakan kemudahan internet; seperti mewajibkan pelajar menyertakan senarai
rujukan alamat URL laman web yang dirujuk oleh pelajar. Suatu lagi matlamat kajian
tindakan ialah memastikan penambahbaikan berlaku terhadap guru dari
segi kefahaman terhadap perubahan yang berlaku serta amalan bertindak
balas dengan perubahan itu.
Kesimpulannya, kajian tindakan adalah
untuk melibatkan guru dalam proses penambahbaikan dalam bidang tugasnya iaitu
menggalakkan guru menyelesaikan masalah amalan harian dengan membuat refleksi
bagi mendapatkan idea dan strategi baru dalam usaha membawa pembaharuan dan
kemajuan serta menggalakkan guru menyelidik amalan-amalan yang ingin diperbaiki
dalam kerja mereka dalam kelas untuk membaiki tindakan dan menilai hasil dan
keberkesanan usaha itu.Dalam hal ini guru diberi kuasa untuk membuat keputusan
dalam bilik darjahnya yang boleh menambah tingkat tahap keprofesionalisme yang
dimilikinya.
KONSEP & CIRI
KONSEP KAJIAN TINDAKAN
Kemmis dan McTaggart (1988),
menggariskan beberapa konsep penting dalam kajian tindakan iaitu:
1.
Kajian tindakan adalah suatu
pendekatan bagi menambah baik atau membaiki pendidikan dengan cara melakukan
perubahan dan mempelajarinya akibat daripada perubahan tersebut.
2.
Kajian tindakan adalah bersifat
penglibatan (participatory) iaitu berusaha ke arah memperbaiki amalan
mereka sendiri.
3.
Kajian tindakan dilakukan melalui
kitaran refleksi kendiri (self-reflectivespiral) iaitu suatu kitaran
gelungan yang terdiri daripada merancang, melaksana, menilai, mereflek dan
seterusnya merancang sekali lagi, melaksana, menilai, mereflek.
4.
Kajian tindakan dilakukan secara
kolaboratif iaitu melibatkan mereka yang bertanggungjawab dalam melaksanakan
tindakan dan bagi memperbaiki suatu amalan pendidikan.
5.
Kajian tindakan melibatkan aktiviti
menyimpan rekod, mengumpul dan menganalisis pertimbangan (judgement),
reaksi dan tanggapan terhadap apa yang berlaku sebagai bukti.
6.
Kajian tindakan melibatkan penggunaan
jurnal peribadi iaitu kita merekod perkembangan dan refleksi kita tentang
proses pembelajaran.
7.
Kajian tindakan melibatkan penyelidik
dalam membuat analisis kritikal (critical analysis) terhadap situasi
(bilik darjah, sekolah, sistem) mereka bekerja.Kajian tindakan dimulakan secara
kecil (start small) dan kemudian ke arah perubahan yang lebih besar.
8.
Kajian tindakan bermula dengan
kitaran kecil (small cycles) yang terdiri daripada merancang, bertindak,
menilai, mereflek supaya dapat membantu untuk mentafsir isu, idea, dan
tanggapan dengan lebih jelas.
Sebelum penyelidikan layak dikenali
sebagai kajian tindakan, Grundy dan Kemmis (1981) telah menyenaraikan tiga
prasyarat yang perlu dipatuhi iaitu:
1.
Projek tersebut menjalankan kajian ke
atas satu amalan sosial yang dilihat sebagai satu tindakan strategik yang boleh
diperbaiki.
2.
Projek berjalan mengikut satu kitaran
pusingan iaitu setiap pusingan terdiri daripada turutan aktiviti merancang,
bertindak, memerhati, dan mereflek, yang dilaksanakan secara sistematik dan
berhubung kait.
3.
Projek tersebut dilaksanakan oleh
orang yang bertanggungjawab ke atas setiap aktiviti tersebut dan beransur-ansur
melibatkan subjek-subjek kajian tanpa kehilangan kawalan
ke atas projek penyelidikan.
ke atas projek penyelidikan.
Henry dan Henry (1982) sebaliknya
pula telah mengubah suai tiga prasyarat kajian tindakan yang dikemukakan oleh
Grundy dan Kemmis (1981) untuk diaplikasikan ke dalam bidang pendidikan. Mereka
berpendapat suatu projek penyelidikan layak dilabelkan sebagai kajian tindakan
sekiranya memenuhi syarat-syarat berikut:
1.
Projek yang berbentuk kolaborasi sama
ada antara guru dengan guru, guru dengan pelajar atau guru dengan ibu bapa.
2.
Projek dijalankan harus merangka
suatu perancangan yang boleh dilaksanakan, dipantau dan direkodkan dalam bentuk
kitaran serta mempunyai dinamika dalaman untuk menjana kitaran-kitaran
berikutnya.
3.
Projek harus mempunyai keupayaan
memberi sumbangan pada proses pengajaran dan pembelajaran secara jelas.
Henry dan Henry (1982) berpendapat
bahawa projek penyelidikan yang mempunyai satu kitaran tidak boleh dianggap
sebagai kajian tindakan, sebaliknya hanya sebagai satu projek penyelesaian
masalah. Elliott (1991) mencadangkan satu-satu projek penyelidikan kajian
tindakan sekurang-kurangnya mempunyai tiga kitaran atau satu tahun pengajian.
Walau bagaimanapun, Boomer (1980 dalam Grundy & Kemmis 1981) dalam
projek Negotiating the Curriculum menyatakan bahawa kebanyakan
laporan kajian tindakan dalam projek tersebut hanya menampakkan satu kitaran
sahaja.
Ciri-Ciri Kajian Tindakan
Terdapat tiga ciri penting kajian
tiindakan yang membezakannya daripada penyelidikan-penyelidikan lain. Ciri-ciri
tersebut ialah (a) amalan reflektif yang perlu ada pada pengamal bidang, (b)
penglibatan pengamal dalam penyelidikan yang dijalankan, dan (c) lingkaran
penyelidikan yang dijalankan secara berterusan.
(a)Elemen Reflektif
Kajian tindakan membawa dua manfaat
utama iaitu, kajian tindakan menggalakkan guru untuk mereflek amalan mereka dan
seterusnya akan menggalakkan perubahan terhadap amalan tersebut. Oleh itu,
kajian tindakan sebagai penyelidikkan untuk menambah baik amalan oleh individu
pengamal yang memerlukan mereka sentiasa memikir kembali segala tindakan yang
dilakukan dalam amalan harian mereka. Seorang guru yang profesional perlu
sentiasa mengimbas kembali pengajarannya tentang apa yang berlaku semasa
pengajarannya setelah selesai mengajar sesuatu perkara. Tanpa mengimbas kembali
atau membuat refleksi terhadap aksi-aksi pengajaran yang telah berlaku, kajian
tindakan tidak boleh berlaku.
(b) Elemen Penglibatan
Satu ciri untuk kajian tindakan ialah individu yang melaksanakan penyelidikan, iaitu guru, akan terlibat dengan penyelidikan tersebut. Secara amnya, masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran merupakan masalah yang bersifat setempat (natural setting) dan unik. Ini memerlukan penelitian khusus oleh guru yang terlibat. hal ini bermakna, hanya guru yang terlibat seharusnya bertanggungjawab ke atas penyelesaian kepada masalah berkenaan. Memandangkan hanya guru yang lebih memahami situasi yang dihadapi, maka ia jugalah yang paling layak untuk menilai dan mempertimbangkan tindakan yang seharusnya diambil. Di samping itu, masalah yang dihadapi melibatkan guru sebagai individu yang memiliki keupayaan, kepercayaan, pemikiran serta pengetahuan sedia ada yang hanya diketahui oleh guru tersebut. Oleh itu, bagi mencari jalan penyelesaian untuk masalah yang dihadapi, suatu penyelidikan wajar dijalankan olehh guru yang terlibat bagi membolehkannya mengambil sesuatu tindakan yang lebih tepat daripada penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik luar.
(c) Elemen Lingkaran
Kajian tindakan bukanlah suatu penyelidikan yang berhenti setelah penyelesaian ditemui. Walaupun setiap kajian akan mempunyai suatu penghujung, namun kajian tersebut merupakan penyelidikan yang berlangsung dalam lingkaran yang berterusan. Lingkaran pertama- merancang, bertindak, memerhati, mereflek - tidak akan berhenti, sebaliknya akan diteruskan dengan merancang tindakan seterusnya. Kajian tindakan jarang sekali memberi penyelesaian muktamad bagi sesuatu masalah yang dihadapi. Pada peringkat pemerhatian dan refleksi, maklumat baru akan diperoleh bagi masalah yang dihadapi, yang menuntut kajian tindakan. Ada kalanya beberapa masalah baru akan timbul yang memerlukan penyelidikan lain dijalankan di bawah penyelidikan sedia ada.
Madzniyah et al.(1995) telah
merumuskan bahawa ciri-ciri kajian tindakan boleh dilihat dalam dua aspek
iaitu:
1. Aspek pendekatan kajian
·
Merupakan suatu pendekatan untuk
memperbaiki mutu pendidikan melalui perubahan guru dalam pengajaran dan
pembelajaran
·
Melibatkan proses pengajaran dan
pembelajaran perkembangan iktisas guru yang sistematik melalui kritikan yang
membina
·
Melibatkan guru-guru membina
teori-teori daripada amalan sebenar
·
Keutamaan diberi untuk memahami dan
memperbaiki amalan sendiri.
2. Aspek alam persekitaran kajian
·
Dilakukan dalam situasi sebenar
seperti di dalam bilik darjah atau sekolah
·
Melibatkan guru dan rakan sejawat
secara kolaboratif
·
Memberi fokus pada suatu isu atau
masalah di persekitaran sekolah
·
Melibatkan tindakan inferensi bagi
merapatkan amalan sebenar dengan jangkaan
MODEL-MODEL KAJIAN TINDAKAN
Pada asasnya, setiap kajian tindakan
akan melibatkan dua unsur, iaitu menyelidik dan bertindak. Kedua-dua unsur ini
kemudiannya dikembangkan dan diperincikan kepada model-model penyelidikan yang
menjadi ikutan penyelidik tindakan.
1. Model Lewin (1946)
Menurut Lewin (1946), kajian tindakan memperlihatkan suatu kitaran langkah-langkah (a spiral of steps). Suatu kitaran kajian tindakan mempunyai empat langkah iaitu merancang (planning), memerhati (observing) dan mereflek (reflecting). Kitaran ini akan berterusan ke kitaran seterusnya yang melibatkan merancang semula, bertindak , memerhati dan mereflek bagi menghasilkan kitaran baru. Model kajian tindakan Lewin ini ditunjukkan dalam Rajah 1.
2. Model Kemmis & McTaggart
(1988)
Kemmis dan McTaggart (1988)
menjelaskan, bagi sesetengah kumpulan yang sudah merancang tindakan, mereka
boleh memulakan langkah pertama seperti mana yang dikemukakan oleh model Lewin.
Walau bagaimanapun, mereka berpendapat bahawa kebanyakan kumpulan akan memulakan
peringkat awal refleksi bagi membuat tinjauan awal (initial reconnaissance)
terhadap sesuatu situasi sebagai asas untuk merancang dan bertindak. Model ini
ditunjukkan dalam Rajah 2.
3. Model Somekh (1989)
Model kajian tindakan Somekh melibatkan lapan fasa, iaitu mengenal pasti
masalah atau fokus kajian yang diminati, mengumpul data, menganalisis data dan
membina hipotesis, merancang pelan tindakan, melaksana pelan tindakan,
mengumpul data untuk mengesan perubahan, menganalisis dan menilai serta mengenal
pasti folus penyelidikan yang baru.
Aspek sistematik merupakan kekuatan model ini, di mana setiap langkah diperjelas dengan lebih terperinci, bermula daripada langkah yang mudah dan formal kepada langkah yang lebih terperinci. namun model ini kelihatan agak rumit untuk diikuti kerana memerlukan guru untuk mengikuti setiap langkah yang dinyatakan secara terperinci.
4. Model CRASP Zuber-Skerritt (1991)
Model Zuber-Skerritt menggariskan
lima ciri yang menjadi paksi utama kepada kajian tindakan iaitu:
1.
critical
collaboration enquiry by
2.
reflective
practitioners who are
3.
accountable in
making the results of their enquiry public,
4.
self-evaluative in
their practice, and engage in
5.
participative
problem solving and continuing professional development
Menurut model ini, terdapat lima
komponen utama kajian tindakan iaitu kolaborasi atau kerjasama kritikal yang
dilakukan oleh pengamal yang reflektif, yang sentiasa bertanggungjawab
menyebarkan dapatan mereka, menilai diri dalam amalan dan terlibat dalam menyelesaikan
masalah secara bersama demi pembangunan profesional yang berterusan. Walaupun
model ini tidak menunjukkan sebarang kaedaah skematik tentang cara pelaksanaan
penyelidikan, namun jelas menunjukkan ciri-ciri yang perlu ada dalam proses
kajian tindakan. kekuatan model ini ialah kebebasan yang diberi kepada
penyelidik dalam melaksanakan kajian tindakan. Suatu penyelidikan dianggap
sebagai kajian tindakan sekiranya penyelidik melakukan penyelidikan secara
kolaboratif, mengamalkan refleksi secara bersama, bertanggungjawab terhadap
datan yang dikemukakan kepada orang lain yang mempunyai kepentingan, melakukan
penilaian terhadap diri sendiri serta bersama-sama menyelesaikan masalah demi
peningkatan profesionalisme secara berterusan. Walau bagaimanapun, memandangkan
tiada format khusus diterangkan untuk memberi panduan kepada penyelidik bagi
menjalankan penyelidikan, maka model ini boleh menyebabkan penyelidik tersasar
dari perancangan dan pelaksanaan penyelidikan.
5. Model McKernan (1991)
Menurut model McKernan, kajian tindakan melibatkan sekurang-kurangnya
dua lingkaran penyelidikan, di mana setiap lingkaran mempunyai enam peringkat,
iaitu mengenal pasti masalah, meninjau, menentukan fokus penyelidikan,
pelaksanaan rancangan, penilaian dan refleksi, dan membuat keputusan.
Kekuatan model ini terletak pada ketetapan bahawa sesuatu penyelidikan itu diklasifikasikan sebagai kajian tindakan hanya sekiranya penyelidikan tersebut telah melalui sekurang-kurangnya dua lingkaran penyelidikan. hal ini bermakna pendekatan yang dikemukakan oleh McKernan (1990) sangat menekankan proses membentuk perancangan dan proses penilaian semula perancangan serta membentuk semula perancangan untuk tujuan penambahbaikan. Walau bagaimanapun model ini tidak menyarankan amalan kolaboratif sebagaimana yang disarankan oleh Model CRASP Zuber-Skerritt. pendekatan McKernan juga tidak menitikberatkan pendedahan dapatan penyelidikan kepada umum.
6. Model Altrichter et.al (1993)
Menurut Altrichter et al (1993) ,
setiap projek kajian tindakan mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Jadi mereka
keberatan untuk menyediakan model yang menunjukkan langkah demi langkah kerana
ini akan membataskan laluan yang pelbagai untuk ditujui. Walau bagaimanapun,
mereka berpendapat bahawa kajian tindakan bermula dengan mencari titik
permulaan (A). Kemudian, pungutan data dilakukan dan data dianalisis dan
seterusnya ini memberi penjelasan kepada situasi yang dikaji (B). Lalu strategi
tindakan dibentuk dan dilaksanakan (C). Sesuatu strategi tindakan yang baru tidak
semestinya akan dapat menyelesaikan masalah. Maka langkah baru bagi mendapatkan
penjelasan akan dilakukan (C ke B) yang akan membawa kepada pembentukan
strategi tindakan yang selanjutnya. Hasil kajian perlu dikongsi dengan orang
ramai. Model ini ditunjukkan pada Rajah 5.
7. Model McBride & Schostak (1994)
McBride & Schostak (1994) berpendapat, kajian tindakan
adalah suatu kitaran yang bermula dengan mengenal pasti masalah atau fokus dan
pengumpulan data awal bagi tujuan membentuk hipotesis tentang masalah tersebut.
Kemudian, tindakan dibentuk dan dilaksanakan. Data akan dikumpulkan bagi
melihat kesan pada perubahan atau tindakan tersebut. Hasil daripada analisis
dan penilaian yang dilakukan, akan menentukan kitaran kajian tindakan akan
bersambung ke kitaran selanjutnya. Model ini ditunjukkan dalam Rajah 6.
8. Model Johnson (2002)
Johnson (2002) menyatakan bahawa terdapat lima langkah pentingdalam
proses pelaksanaan kajian tindakan . Langkah-langkah tersebut ialah (i)
mengenal pasti masalah, (ii) membuat perancangan berhubung data yang akan
dipungut dan cara pemungutan (iii) memungut dan menganalisis data, (iv) merumus
serta (v) berkongsi dapatan dan pelan tindakan dengan pihak lain yang
berkaitan. Satu kelainan model ini ialah langkah terakhir, di mana penyelidik
membincangkan persoalan penyelidikan dalam konteks teoritikal. Rajah 7 di bawah
menggambarkan model ini.
Kekuatan utama model ini ialah penekanan terhadap aspek tinjauan literatur dalam penyelidikan. Pendekatan yang digunakan juga adalah lebih fleksibel kerana perbincangan persoalan penyelidikan dalam konteks teoritikal boleh dilakukan sama ada sebelum atau selepas penyelidikan dijalankan. Walau bagaimanapun pelaksanaan model ini mungkin memakan masa kerana tidak mempunyai langkah-langkah yang lebih berstruktur.
PROSES KAJIAN TINDAKAN
Ada lima proses penting dalam
melaksanakan kajian tindakan iaitu:
1.
idea permulaan
2.
membina rancangan tindakan
3.
melaksana tindakan
4.
memerhati kesan pelaksanaan tindakan
5.
mereflek
1. Idea Permulaan
Suatu kajian tindakan bermula dengan satu idea bahawa suatu
perubahan atau penambahbaikan diperlukan dalam amalan guru. Idea tersebut akan
terbit daripada rasa prihatin guru terhadap sesuatu perkara praktikal berkaitan
dengan pengajaran dan pembelajaran yang dilakui, di mana suatu masalah sedang
dihadapi.
Contohnya, apabila hampir separuh
pelajar sebuah kelas gagal dalam ujian topikal yang baru dijalankan yang
membuatkan guru berasa sesuatu perlu dilakukan bagi memulihkan kembali situasi;
guru mendapati segelintir pelajarnya tidak memberi sokongan dalam tugasan
kumpulan yang diberikan, membuat guru ingin mengetahui sebabnya; guru mendapati
seorang guru mata pelajaran lain menggunakan teknik pengajaran berasaskan ICT
dengan jayanya di dalam kelas, dan beliau ingin mengetahui sama ada teknik
tersebut boleh berjaya diaplikasikan dalam mata pelajaran yang diajarnya atau
sebaliknya. Oleh itu guru tersebut mencari jalan untuk mengaplikasikan ICT
dalam mata pelajaran yang diajarnya dan mencubanya dalam tindakan kelas. Pendek
kata, seseorang pengamal (guru) akan sentiasa berdepan dengan masalah, yang
terjadi apabila nilai-nilai yang dipegang bertentangan dengan apa yang berlaku
dalam amalan, yang menyebabkan suatu penambahbaikan perlu dicari (Kemmis &
Mctaggart,1982; Whitehead,1985). Situasi tersebut akan memberi idea untuk
memulakan suatu kajian tindakan.
Kemmis & McTaggart (1988)
menggariskan empat langkah penting bagi menjalankan kajian tindakan; (a)
membina suatu rancangan tindakan bagi membaiki sesuatu yyang sedang
berlangsung, (b) melaksana rancangan yang dibina, (c) memerhati kesan
pelaksanaan dalam konteks bilik darjah, dan (d) mereflek atau mengimbas kembali
kesan yang terjadi sebagai asas untuk merancang tindakan seterusnya.
Madzniyah et.al (1995) pula telah
mengemukakan prosedur atau proses pelaksanaan kajian tindakan mengikut
langkah-langkah berikut:
1.
Mengenal pasti isu atau masalah atau
situasi
2.
merancang tindakan
3.
melaksanakan langkah-langkah tindakan
4.
meninjau dan mengutip data
5.
tindakan untuk gelungan atau kitaran
kedua
McNiff et al (1996) pula berpandangan
bahawa asas proses kajian tindakan boleh digambarkan sebagai:
1.
meninjau amalan semasa
2.
mengenal pasti sesuatu aspek yang
hendak diperbaiki
3.
membayangkan langkah ke hadapan
4.
cuba membuat atau mengambil
catatan apa yang berlaku
5.
mengubah suai perancangan berdasarkan
apa yang ditemui dan meneruskan tindakan
6.
menilai model yang telah diubah suai
dan seterusnya sehingga berpuas hati dengan semua aspek dalam kajian
Walau apapun pandangan ahli akademik
di atas, apa yang dapat disimpulkan ialah proses suatu kajian tindakan itu
ternyata telah memperlihatkan satu kitaran yang jelas yang patut dipatuhi oleh
pengamalnya.
2. Membina Rancangan Tindakan
Setelah MENDAPAT
idea awal untuk memulakan
langkah kajian tindakan, penyelidik (guru) perlu membina rancangan untuk
bertindak ke arah penambahbaikan. Sebagai permulaan, penyelidik perlu menilai
situasi sedia ada bagi mendapatkan maklumat yang akan membantunya merancang
tindakan yang bakal diambil. Contohnya, apabila hampir separuh daripada
sekumpulan gagal dalam ujian topikal yang ditadbir, maklumat terperinci
diperlukan tentang soalan-soalan yang gagal dijawab oleh kumpulan pelajar
berkenaan. Maklumat ini dapat diketahui dengan merujuk kepada isi kandungan
yang gagal difahami oleh pelajar sehinggakan tidak dapat menjawab soalan yang
berkaitan dengan topik berkenaan dalam ujiian topikal. Kemudian berdasarkan
maklumat yang terkumpul, penyelidik boleh membentuk soalan penyelidikan:
1.
Apakah aspek-aspek yang belum
difahami oleh pelajar tentang topik yang diajar?
2.
Apakah kesukaran yang dihadapi oleh
pelajar dalam memahami aspek-aspek tersebut?
3.
Bolehkah masalah ini diatasi dengan
mengajar semula topik tersebut dengan kaedah pembelajaran masteri?
Setelah soalan-soalan penyelidikan
Setelah soalan-soalan penyelidikan dibentuk, penyelidik perlu membina suatu
kerangka penyelidikan. Bagi kelas yang terlibat, beberapa ujian diagnostik
perlu dibina bagi mengesan kelemahan pelajar,serta beberapa contoh yang lebih
mudah digunakan dalam pengajaran semula. kemudian, satu ujian setara dengan
ujian topikal hendaklah dirangka bagi memastikan sekurang-kurangnya 80%
daripada pelajar dapat menjawab kesemua soalan yang dikemukakan.
3. Melaksana Tindakan
Setelah membina rancangan tindakan,
tiba masanya bagi pelaksanaan. Penyelidik (guru) perlu menyemak kembali kertas
jawapan pelajar bagi mengenal pasti soalan-soalan yang gagal dijawab oleh
kebanyakan mereka, diikuti oleh ujian diagnostik bagi mengesan kesukaran serta
kekeliruan yang dihadapi oleh pelajar tentang topik yang diajar. Setelah itu,
penyelidik akan mengajar semula topik berkenaan dengan memberi contoh-contoh
yang lebih mudah difahami oleh pelajar serta disertai dengan latihan dan
bimbingan bagi setiap pelajar secara individu.
4. Memerhati Kesan Pelaksanaan
Semasa tindakan sedang diambil,
penyelidik akan mula mengesan perubahan dalam kalangan pelajar terbabit,
jika ada. Tindak balas yang diberikan oleh pelajar semasa pengajaran semula
yang memberi fokus terhadap aspek-aspek yang sukar difahami akan memberi maklum
balas kepada penyelidik. Akhir sekali, keputusan ujian setara tentang topik
yang diajar akan memberi maklum balas sama ada tindakan yang dilaksanakan
berjaya mengurangkan bilangan pelajar yang gagal kepada hanya 20% daripada
keseluruhan pelajar.
5. Mereflek
Kesan yang berlaku dalam sesuatu
penyelidikan walaupun positif masih boleh dipertingkatkan lagi. Hal ini
dapat dilakukan melalui refleksi yang dapat membantu penyelidik mengenal pasti
kelemahan dalam ujian diagnostik yang tidak dapat mengesan kelemahan tertentu
dalam kalangan pelajar. Di samping itu, pelajar mungkin gagal menjawab
aspek-aspek lain dalam ujian setara, berikutan kefahaman pelajar yang tidak
kekal untuk tempoh masa panjang. Secara amnya, penyelidik perlu mencari idea
untuk mengatasi masalah retention kefahaman pula, dan ini akan menjurus kepada
satu lagi pusingan penyelidikan baru yang perlu dirancang untuk tindakan
seterusnya
FORMAT PROPOSAL
FORMAT PENULISAN LAPORAN KAJIAN
TINDAKAN EPRD (KPM)
1. Abstrak
2. Refleksi P & P
3. Isu keperihatinan / Fokus
kajian
4. Objektif kajian
a. Objektif am
b. Objektif khusus
5. Kumpulan sasaran
6. Pelaksanaan Kajian
a. Tinjauan masalah
b. Analisis
tinjauan masalah
c. Tindakan yang
dijalankan
d. Pelaksanaan
Tindakan dan pemerhatian/ Penilaian
i. Pelaksanaan aktiviti 1 –
Pemerhatian, Refleksi
ii. Pelaksanaan aktiviti 2 –
Pemerhatian, Refleksi
7. Refleksi kajian
i. Penilaian
pencapaian tindakan
ii. Rumusan hasil
dapatan kajian
iii. Refleksi
proses P & P
8. Cadangan untuk kajian
seterusnya
CONTOH PELAKSANAAN KAJIAN TINDAKAN
MENINGKATKAN PENGUASAAN PEMAHAMAN BACAAN DAN MENULIS KARANGAN DENGAN MENGGUNAKAN TEKNIK SUMBANGSARAN
ABSTRAK:
Kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira merupakan suatu keperluan asas di negara ini. Bagi mengajar subjek bahasa pula, kemahiran membaca dan menulis merupakan tunjang utama dalam menguasai bahasa tersebut. Tanpa kemahiran-kemahiran ini, penguasaan bahasa tidak akan dapat berjalan dengan jayanya. Oleh hal yang demikian, kajian ini bertujuan untuk mengenal meningkatkan penguasaan membaca dan menulis dalam kalangan murid-murid bermasalah pendengaran dengan menggunakan teknik sumbangsaran. Responden kajian terdiri daripada tujuh orang murid yang merangkumi semua murid tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri. Kajian yang dijalankan ini adalah berbentuk pemerhatian sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung selain daripada Ujian Pra dan Ujian Pos. Sehubungan itu, dapatan kajian menunjukkan bahawa kebanyakan murid-murid atau responden ini mempunyai masalah dalam kemahiran membaca dan menulis dapat meningkatkan penguasaan mereka terhadap kedua-dua kemahiran tersebut. Kesimpulannya, bagi mengatasi masalah ini, satu kaedah atau pendekatan pemulihan amat penting bagi membantu responden menguasai kemahiran membaca dan menulis untuk kepentingan mereka di masa akan datang.
1.0 PENGENALAN
Membaca dan menulis merupakan satu asas yang penting dalam mempelajari sesuatu perkara. Tanpa bacaan, seseorang itu tidak akan mendapat sesuatu maklumat dan keadaan ini akan menyebabkan daya fikiran otak mereka tidak dapat berfungsi dengan baik. Menurut Yahya ( 2005 ) tujuan membaca adalah bagi memahami teks yang dibaca dan kandungan teks yang dibaca memberi makna kepada pembacanya. Keupayaan membaca merupakan satu kemahiran yang unik dan dinamik dan keadaan ini perlu ada bagi setiap individu ketika mereka membaca kerana pada masa ini, keupayaan kognitif mereka secara tidak langsung akan aktif dan dapat memproses sesuatu perkara yang baru.
Membaca juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang untuk mengecam bentuk visual dan menghubungkan antara bentuk dengan bunyi dan melalui pengalaman serta pembaca juga berupaya untuk mentafsirkan maksud yang dibacanya. Pemahaman bacaan bergantung kepada gabungan dari segi pengetahuan bahasa, gaya kognitif, dan pengalaman membaca.
Sementara itu, kemahiran menulis juga merupakan satu aspek penting dalam pembelajaran bahasa. Kemahiran menulis dan membaca tidak dapt dipisahkan jika mempelajari sesuatu bahasa. Kemahiran ini merupakan suatu budaya intelek yang saling melengkapi antara kemahiran membaca dengan menulis. Keupayaan menulis merupakan satu proses penyaluran maklumat yang bersifat mekanikal dan keupayaan ini disalurkan secara bersistem atau berperingkat iaitu mengambil kira matlamat, penggunaan bahasa, audiens, dan gaya penulisan. Sehubungan itu, keupayaan membaca dan menulis merupakan suatu kemahiran yang menjadi punca atau asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dalam pelbagai bidang di sekolah. Pencapaian dan kebolehan yang tinggi dalam kemahiran membaca dan menulis pasti dapat meningkatkan penguasaan pembelajaran murid dalam Bahasa Melayu dan mata pelajaran bahasa yang lain.
Seperti yang kita sedia maklum, bahawa setiap murid adalah berbeza antara satu sama lain iaitu dari segi pengalaman, tingkah laku, amalan, bakat dan kebolehan mereka masing-masing. Oleh yang demikian, guru yang mengajar subjek bahasa seharusnya cuba memahami keperluan konsep pemulihan atau kaedah lain yang dapat membantu murid-murid di dalam bilik darjah bagi mengatasi permasalahan menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam kalangan murid bermasalah pendengaran. Selain mampu untuk membantu mereka menguasai kemahiran membaca dan menulis, murid-murid juga sekali gus akan dapat membantu meningkatkan kemahiran kendiri mereka.
Pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bersama Jabatan Pelajaran Negeri dengan Pejabat Pelajaran Daerah bagi merangka dan menghasilkan program kecemerlangan murid contohnya Kelas Intervensi Awalan Membaca dan Menulis (KIA2M), Program Literasi dan Numerasi (LINUS), dan Program Bimbingan Membaca dan Menulis (PROBIM). Usaha-usaha seperti inilah yang akan membantu murid-murid menguasai kemahiran membaca dan menulis. Selain itu, peranan guru-guru yang mengajar subjek bahasa dan bukan bahasa amatlah penting supaya murid-murid mereka dapat menguasai kemahiran-kemahiran ini seperti murid-murid yang lain. Perhatian guru yang serius dalam memenuhi tuntutan murid ini dapat membantu mengembangkan potensi dan meningkatkan keyakinan murid tersebut untuk bersaing dengan rakan-rakan mereka yang normal.
2.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN LALU
Secara keseluruhannya, para pelajar bagi kelas tingkatan empat ini agak lemah dalam menguasai isi pelajaran yang berkaitan dengan kemahiran membaca dan menulis semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan dalam kelas. Salah satu puncanya ialah mereka kekurangan motivasi untuk belajar dan juga sokongan daripada guru. Hanya sebahagian kecil pelajar sahaja yang mempunyai minat dan berpotensi untuk maju dalam mata pelajaran yang diajarkan.
Sepanjang guru mengajar topik yang melibatkan penulisan karangan, murid-murid tidak memberikan tumpuan yang sepenuhnya. Tambahan pula, mereka kurang mengetahui makna sesuatu perkataan dan memerlukan penjelasan daripada guru. Selain itu, keputusan pelajar dalam ujian juga agak tidak memuaskan guru.
Para pelajar gagal untuk menguasai kemahiran membaca dan menulis yang diajar. Hanya 28% pelajar sahaja yang mendapat markah yang agak tinggi iaitu sebanyak 15%. Kaedah hafal dan tulis yang dipraktikkan sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran adalah gagal untuk menarik perhatian pelajar dalam penulisan karangan.
Sekiranya perkara ini tidak dibendung dari awal sudah semestinya akan mendatangkan masalah kepada para pelajar untuk meneruskan pembelajaran kepada topik-topik lain yang melibatkan penulisan karangan. Sehubungan dengan itu, satu tindakan sistematik dan terancang melalui kajian tindakan telah diambil bagi mengatasi masalah ini.
3.0 OBJEKTIF KAJIAN
Dalam kajian yang dijalankan ini, objektif umum adalah untuk mengenal pasti masalah dalam kemahiran membaca dan menulis murid-murid tingkatan empat yang mempunyai masalah pendengaran. Manakala objektif khusus kajian ini adalah seperti berikut:
3.1 Objektif Am
a) Meningkatkan peratusan kelulusan dalam penulisan karangan.
b) Memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran topik-topik lain yang berkaitan dengan penulisan karangan.
c) Membentuk kaedah yang sesuai dengan keupayaan murid-murid.
3.2 Objektif Khusus
a) Murid-murid dapat meningkatkan penguasaan membaca dan menulis karangan berdasarkan teknik sumbangsaran.
b) Pelajar dapat menyelesaikan semua soalan lembaran kerja yang diberikan mengikut masa yang ditetapkan oleh guru
c) Pelajar dapat lulus ujian pos yang melibatkan penulisan karangan.
4.0 KUMPULAN SASARAN
Pelaksanaan kajian tindakan ini melibatkan tujuh orang murid tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri.
5.0 PELAKSANAAN KAJIAN
5.1 Tinjauan Masalah
Dalam pelaksanaan kajian ini, tinjauan masalah telah dibuat berdasarkan kepada pemerhatian, ujian pra, dan ujian pos.
5.1.1 Pemerhatian
Pengkaji telah menjalankan pemerhatian ke atas tingkah laku kumpulan sasaran semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan, iaitu sebelum dan selepas kajian. Sebelum kajian dijalankan, para pelajar kurang memberi perhatian kepada proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung. Keadaan berubah setelah kajian dilaksanakan dalam kalangan pelajar, iaitu pelajar lebih berminat, lebih yakin dan berusaha menjawab soalan latihan yang diberikan oleh guru.
5.1.2 Ujian Pra dan Ujian Pos
Pengkaji juga menyediakan set Ujian Pra dan diberikan kepada kumpulan sasaran pada awal kajian untuk mengesan sejauh mana penguasaan dan kefahaman mereka terhadap kemahiran membaca dan menulis. Secara tidak langsung, pengkaji dapat mengesan kelemahan kedua-dua kemahiran tersebut dalam kalangan murid. Item dalam ujian pra terdiri daripada lima soalan yang berkaitan dengan proses pembinaan ayat dan pemahaman teks bacaan. Selepas itu, pelajar diuji lagi dengan ujian pos dengan format soalan yang sama.
5.2 Analisis Tinjauan Masalah
5.2.1 Analisis pemerhatian
Berdasarkan pemerhatian selepas kajian dijalankan didapati:
a) Pelajar lebih memahami petikan dan dapat menulis dengan baik.
b) Suasana pembelajaran dalam kelas lebih bermakna.
5.2.2 Analisis Ujian Pra
Setelah dianalisis keputusannya, hampir kesemua pelajar gagal menguasai kemahiran memahami petikan dan menulis karangan.
Jadual 1 : Keputusan Ujian Pra
MARKAH (%)
|
JUMLAH PELAJAR
|
5
|
3
|
10
|
3
|
15
|
2
|
20
|
0
|
25
|
0
|
30
|
0
|
JUMLAH
|
7
|
Dapatan daripada Ujian Pra di atas menunjukkan bahawa seramai 3 orang murid mendapat markah sebanyak 5%, 3 orang murid mendapat markah sebanyak 10% dan 2 orang murid mendapat markah sebanyak 15%.
Hasil ujian ini menunjukkan bahawa tindakan segera perlu diambil bagi membantu murid-murid meningkatkan penguasaan membaca dan menulis terhadap penulisan karangan. Oleh itu, teknik bercerita digunakan untuk mengatasi masalah ini.
5.3 Tindakan Yang Dijalankan
Pengkaji melakukan tindakan berikut dalam mendapatkan hasil kajian:
a) Pengkaji menjalankan Ujian Pra kepada para pelajar setelah selesai mengajar topik yang berkaitan dengan karangan.
b) Pelajar-pelajar juga diberi latih tubi dalam membaca dan menulis karangan dengan menggunakan teknik bercerita.
c) Selepas itu, pengkaji menjalankan Ujian Pos apabila semua pelajar telah menguasai penggunaan teknik bercerita.
d) Kemudian, pengkaji membuat perbandingan antara hasil dapatan Ujian Pra dan Ujian Pos.
5.4 Pelaksanaan Tindakan, Pemerhatian dan Penilaian
Kajian tindakan ini telah dilaksanakan dalam tempoh tiga minggu. Setiap kali memasuki waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, pengkaji akan membimbing para pelajar untuk meningkatkan penguasaan bacaan dan menulis karangan dengan menggunakan teknik bercerita. Pelajar-pelajar telah menjalani Ujian Pra seminggu sebelum diperkenalkan dengan teknik bercerita. Manakala Ujian Pos pula dijalankan sebulan selepas itu. Berdasarkan kepada pemerhatian yang telah dijalankan, didapati pelajar lebih mudah untuk membaca dan menulis karangan dengan menggunakan teknik bercerita.
Jadual 2 : Keputusan Ujian Pos
MARKAH (%)
|
JUMLAH PELAJAR
|
5
|
0
|
10
|
0
|
15
|
2
|
20
|
3
|
25
|
2
|
30
|
0
|
JUMLAH
|
7
|
Dapatan daripada Ujian Pos menunjukkan bahawa terdapat dua orang pelajar yang mendapat markah sebanyak 15%, tiga orang murid mendapat markah 20% dan dua orang murid mendapat markah sebanyak 25%.
Dapatan ini juga menunjukkan bahawa terdapat peningkatan dalam pemahaman bacaan teks dan penulisan karangan berdasarkan teknik sumbangsaran. Berikut merupakan perbandingan Ujian Pra dan Ujian Pos.
Jadual 3 : Perbandingan Keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos
MARKAH (%)
|
Bil Pelajar
(Ujian Pra)
|
Bil Pelajar
(Ujian Pra)
|
5
|
3
|
0
|
10
|
3
|
0
|
15
|
2
|
2
|
20
|
0
|
3
|
25
|
0
|
2
|
30
|
0
|
0
|
JUMLAH
|
7
|
7
|
5.5 Refleksi Kajian
Dapatan dari kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa penggunaan teknik sumbangsaran dapat meningkatkan penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran bahasa terutamanya pemahaman bacaan dan penulisan karangan. Hal ini dapat dikukuhkan dan dibuktikan lagi dengan perbandingan keputusan yang telah dijalankan iaitu melalui Ujian Pra dan Ujian Pos yang telah dijalankan dalam kalangan pelajar tingkatan empat.
Pencapaian pelajar dalam kedua-dua ujian telah dilaksanakan ini menunjukkan peningkatan yang baik dan memuaskan. Di samping itu, hasil dapatan kajian bukan sahaja menunjukkan bahawa kaedah atau cara ini telah membantu para pelajar meningkatkan kefahaman, tetapi juga membina keyakinan diri terhadap sesuatu yang telah dipelajari oleh pelajar serta menjadikan suasana pengajaran dan pembelajaran lebih ceria dan bersemangat. Tambahan pula, para pelajar juga memberi respons yang memuaskan kepada guru dan secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan guru.
Hasil kajian juga mendapati bahawa teknik sumbangsaran ini dapat membantu murid-murid memahami apa yang dibaca oleh mereka dan sekali gus dapat menambah perbendaharaan kata mereka. Penambahan perbendaharaan kata amat penting terutama ketika melibatkan aktiviti penulisan terutamanya melibatkan penulisan karangan. Kaedah latih tubi yang melibatkan bacaan juga dapat membantu murid-murid menguasai kemahiran membaca dan ini sekali gus dapat membantu murid-murid dalam kelancaran ketika membaca. Murid-murid ini juga percaya bahawa penguasaan kemahiran membaca yang baik dapat menjadikan aktiviti membaca di dalam kelas sebagai suatu aktiviti yang amat menarik jika dikendalikan dengan betul.
6.0 CADANGAN
Beberapa cadangan yang difikirkan perlu bagi meningkatkan prestasi pengajaran dan potensi pembelajaran murid untuk meningkatkan pemahaman bacaan dan menulis murid-murid tingkatan empat yang mempunyai masalah pendengaran. Hal ini supaya kemahiran menulis dan membaca mereka selari dengan murid-murid normal sebaya dengan mereka.
Cadangan yang boleh dilakukan adalah antaranya iaitu pengajaran asas kemahiran membaca dan menulis seharusnya diberikan penekanan yang serius agar murid-murid dapat menguasai kedua-dua kemahiran tersebut. Pengajaran Bahasa Melayu seharusnya disampaikan dalam pendekatan yang lebih menarik dengan kepelbagaian bahan bantu mengajar serta kaedah pengajaran yang menarik dan mampu memperkembang lagi keupayaan kemahiran membaca dan menulis murid. Kepelbagai kaedah yang digunakan oleh guru bahasa dapat membentuk murid supaya tidak cepat bosan dan penat semasa proses pembelajaran berlaku di dalam bilik darjah terutama untuk aktiviti membaca.
Selain itu, teknik ini juga boleh digunakan oleh kelas-kelas yang lain untuk meningkatkan pemahaman bacaan dan sekali gus dapat membantu murid-murid untuk menulis karangan dengan baik. Bagi menangani masalah menulis pula dalam kalangan murid-murid ini, satu kelas tambahan dilakukan untuk membantu murid-murid ini dalam kemahiran menulis. Semasa melaksanakan kelas ini, lembaran-lembaran kerja disediakan sebagai pengukuhan kepada murid-murid dalam aktiviti menulis. Selain itu, guru juga boleh menggunakan bahan seperti buku-buku untuk memberi pendedahan kepada murid-murid tentang penulisan terutamanya dalam penulisan karangan dan rumusan.
7.0 KESIMPULAN
Kelemahan murid menguasai kemahiran membaca dan menulis menjejaskan potensi serta motivasi dalam menguasai pelbagai kemahiran lain dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Dalam usaha memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dewasa ini memang perlu diberi perhatian yang lebih serius. Seluruh warga pendidik Bahasa Melayu mesti mempunyai komitmen serta kekuatan untuk menghadapi cabaran dan seterusnya memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran pengajaran Bahasa Melayu sebaik mungkin. Peningkatan profesionalisme guru Bahasa Melayu merupakan pemangkin akauntabiliti bahasa dan bangsa Melayu. Ini amat bertepatan dengan saranan Menteri Pelajaran yang mahu sistem pendidikan negara kita terus maju seiring dengan kemajuan negara berimpak tinggi.
Persepsi guru tentang imej murid bermasalah pendengaran yang memerlukan bantuan seharusnya positif dan mempunyai kesedaran bahawa mereka seharusnya dilayan secara saksama dan berpotensi untuk berjaya sama seperti rakan mereka yang beruntung. Tambahan lagi, kesabaran serta ketekunan guru amatlah penting bagi membentuk amalan membantu murid yang mengalami masalah ini untuk berjaya. Pihak berkaitan juga perlu mengadakan lebih banyak kursus khas kepada guru-guru yang terlibat dalam permasalahan kemahiran membaca dan menulis terutama untuk mengajar murid-murid yang mengalami masalah pendengaran.
Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa kesemua responden bersetuju bahawa faktor kebolehan dan kreativiti guru dapat mengubah persepsi serta kesedaran bahawa mereka juga mempunyai potensi untuk berjaya dalam pembelajaran. Dalam kerjasama yang melibatkan pihak pengurusan sekolah diharapkan dapat membina iklim persekolahan yang kondusif, dan persekitaran sekolah yang selamat dapat merangsang murid bermotivasi untuk terus belajar. Selain itu, faktor guru yang berketerampilan serta berkeupayaan menyerap kaedah, teknik dan aktiviti serta menstrukturkan tahap pembelajaran supaya menjadi satu set binaan pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif dapat memberikan kesan positif dan bermakna. Faktor ini sememangnya dapat membina pembelajaran yang menggalakkan hala tuju pengajaran yang hendak dicapai oleh guru.
BIBLIOGRAFI
Amir Hasan Dawi (2006). Penteorian Sosiologi dan Pendidikan. Tanjong Malim: Quantum Books.
Yahya Othman. (2005). TREND
dalam pengajaran Bahasa Melayu. Bentong: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Teknik pengajaran dan pembelajaran diperolehi pada November 20 2011 melalui http://bobezani.tripod.com/teknik.htm
Kaedah dan teknik mengajar diperoleh pada Mac 10 2011 melaluihttp://www.scribd.com/doc/13259494/Kaedah-Dan-Teknik-Mengajar
No comments:
Post a Comment