Keruntuhan
Akhlak Remaja Berpunca Daripada Keruntuhan Institusi Keluarga
Keruntuhan Akhlak Remaja Berpunca Daripada
Keruntuhan Institusi Keluarga
Menuju tahun 2020, masalah
keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja sangat membimbangkan dan seperti
tiada penghujungnya. Jika kita lihat senario pada hari ini, ramai dalam
kalangan remaja kita terlibat dengan gejala sosial seperti meragut, mencuri dan
sebagainya. Namun demikian apakah puncanya? Hal ini disebabkan oleh kegagalan
institusi kekeluargaan. Institusi kekeluargaan yang terdiri daripada ibu bapa
dan anak-anak sepatutnya bekerjasama dalam mempertahankan kebahagiaan institusi
kekeluargaan masing-masing. Ibu bapa seharusnya melindungi dan mendidik anak
supaya mereka tidak tersalah arah dan terlibat dengan gejala sosial.
Kegagalan institusi kekeluargaan
berpunca daripada kekurangan ilmu tentang hidup berkeluarga dan pelbagai
ilmu dalam perkahwinan. Masyarakat kini ramai yang berkahwin dalam usia muda
kerana terlalu mengikutkan perasaan dan hawa nafsu. Mereka sepatutnya
mempersiapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu supaya setiap perkara yang
terjadi dalam rumah tangga mereka dapat diselesaikan secara baik dan
berdiplomasi. Jika mereka tiada ilmu atau kurang ilmu, setiap perselisihan
faham yang berlaku akan menyebabkan institusi kekeluargaan runtuh dan akibatnya
berlakulah penceraian. Hal ini menyebabkan anak-anak mereka yang akan terkena
tempias atas kekhilafan diri mereka sendiri, seperti kata pepatah, kerana nila
setitik rosak susu sebelanga. Anak-anak yang tertekan denagn masalah penceraian
tersebut akan mencari kebahagiaan yang mereka inginkan dengan cara tersendiri
seperti melarikan diri mengikut teman lelaki atau sesiapa sahaja yang boleh
memberikan kebahagiaan kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar bahawa
kekurangan ilmu dalam institusi kekeluargaan boleh menyebabkan berlakunya
keruntuhan akhlak.
Seterusnya, keruntuhan institusi
kekeluargaan juga berpunca daripada kesibukan ibu bapa yang asyik mengejar
kemewahan duniawi tanpa menghiraukan tentang anak-anak. Hal ini sering terjadi
dalam dunia yang sedang membangun ini. Ibu bapa berpendapat bahawa jika mereka
menyediakan segala kemahuan anak-anak mereka, mereka sudah memberikan kasih
sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Namun demikian, anak-anak merupakan
insan yang perlu dididik dengan betul supaya mereka jadi insan yang berguna.
Jika ibu bapa terlalu mengikut permintaan anak-anak mereka tidak mustahil suatu
hari nanti anak-anak ini akan bersikap kurang ajar dan menyalahkan ibu bapa
mereka atas kekurangan perhatian dan kasih sayang yang diberikan. Anak –anak
ini juga akan menggunakan segala kemewahan yang diperoleh untuk melakukan
perkara yang tidak berfaedah dan merosakkan diri seperti menghisap dadah. Anak
anak ini ibarat kain putih, dan sebagai ibu bapa mereka bertanggungjawab untuk
mencorakkan peribadi diri anak mereka. Ibu bapa harus sedar bahawa tiada yang
lebih berharga dari anak anak mereka sendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu sedar
bahawa kesibukan mereka akan menimbulkan lebih banyak masalah keruntuhan akhlak
dalam diri remaja.
Selain itu, keruntuhan institusi
kekeluargaan juga berpunca daripada kurangnya didikan dan penghayatan agama.
Hal ini demikian kerana, agama merupakan tonggak dalam sesebuah keluarga yang
bahagia. Institusi kekeluargaan yang berpegang kepada ajaran agama tidak akan
goyah walaupun ditimpa beribu musibah. Namun, bagi institusi kekeluargaan yang
tidak berpegang kepada ajaran agama mudah goyah dan runtuh apabila badai
melanda. Anak – anak yang kurang penghayatan agama mudah terpengaruh untuk
melakukan perkara-perkara negatif seperti merempit dan sebagainya. Anak anak
ini perlu dididik menghayati agama sejak kecil lagi seperti kata pepatah
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika sudah menginjak ke usia remaja, mereka
sukar menerima nasihat dan melakukan perubahan. Mereka lebih rela membuat
keputusan tanpa memikirkan kesan dan tidak berpaksikan pada ajaran agama.
Akibat daripada itu, mereka mungkin akan terjebak dalam perkara yang tidak
sihat seperti merokok dan sebagainya. Oleh itu,kekurangan didikan agama boleh
mengakibatkan keruntuhan institusi kekeluargaan.
Akhir sekali, keruntuhan institusi
kekeluargaan berpunca daripada keadaan sosioekonomi yang sempit. Hal ini
demikian kerana, dalam dunia yang kian maju, wang amat penting bagi memudahkan
kelansungan hidup. Bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan yang tetap atau
pekerja kolar biru , mereka sukar untuk menyediakan segala kemudahan untuk
keluarga mereka. Hal ini juga boleh menyebabkan anak –anak mencari jalan pintas
untuk mendapatkan segala keinginan mereka dengan mencuri, meragut dan
sebagainya. Pada usia remaja, mereka sering berasa iri hati apabila
melihat rakan-rakan yang mampu untuk mendapatkan apa yang mereka mahu seperti
telefon bimbit, komputer riba dan sebagainya. Namun demikian, seorang anak yang
prihatin tidak akan membebankan ibu bapanya dengan meminta lebih daripada apa
yang mampu diberikan kepada mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu menyimpan untuk
kegunaan pada masa kecemasan atau untuk menyediakan kemudahan kepada anak anak.
Mereka perlu sedar bahawa keadaan sosioekonomi yang sempit boleh menyebabkan
anak anak remaja bertindak diluar kawalan untuk mendapatkan apa yang mereka
mahu.
Tuntasnya, untuk mengelakkan
berlakunya kegagalan institusi keluarga yang boleh membawa kepada keruntuhan
akhlak remaja, ibu bapa seharusnya melengkapkan dan koreksi diri. Hal ini
demikian kerana, segala kelemahan dalam mendidik dan mendisiplinkan anak anak
terutamanya remaja akan menyebabkan mereka menyimpang terlalu jauh dan terjebak
dengan masalah sosial yang lebih berat. Pihak ibu bapa perlu sedar dan tahu
bahawa kegagalan mereka dalam menguruskan institusi keluarga akan terkesan
dalam diri anak-anak mereka. Anak-anak remaja merupakan aset negara dan mereka
perlu didisiplinkan supaya menjadi orang yang berguna. Mereka ialah insan yang
akan membawa negara kita ke persada antarabangsa yang terkenal dengan
kebudayaan dan budi pekerti yang tinggi dan bukannya negara yang tidak berbudi
pekerti. Maruah negara kita pada masa hadapan berada di tangan anak anak remaja
kini. Jadi, mereka perlu bangkit daripada dunia angan-angan untuk menempuh
dunia realiti.
No comments:
Post a Comment